Membaca Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia

Judul:
Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia: Satu Cerminan Islamisasi Dua-Dimensi

Penulis:
Wan Mohd Nor Wan Daud

Penerbit:
Sekretariat Falsafah dan Sains Islam, Universiti Sains Malaysia

Tahun Terbit:
Februari 2007

Buku ini mengajak pembaca Muslim untuk memainkan peranan masing-masing sebagai agen Islamisasi di Nusantara. Menurut penulis, semua masyarakat yang menerima Islam akan melalui dua proses Islamisasi berikut secara bertahap iaitu Islamisasi Kulli dan Islamisasi Juz‘i. Secara literal, kulli merujuk kepada universal, pokok atau umum. Dan juz‘i pula merujuk kepada particular, cabang atau khusus. Bagi memudahkan pemahaman pembaca ringkasan ini, saya akan merujuk Islamisasi Kulli sebagai Islamisasi Umum dan Islamisasi Juz‘i sebagai Islamisasi Khusus.

Islamisasi Umum berlaku dengan penerimaan pandangan alam Islam tanpa saringan budaya tempatan. Ini termasuklah perkongsian istilah-istilah kuncinya dalam Bahasa Arab oleh semua masyarakat berkaitan.

Islamisasi Khusus pula berlaku dengan penerimaan unsur-unsur tempatan yang disaring oleh pandangan alam Islam. Ini termasuklah kelangsungan istilah-istilah kunci, amalan dan institusi tempatan yang diberikan nafas dan makna baharu. Islamisasi Khusus ini juga boleh dirujuk sebagai pengislahan. Islamisasi Khusus membuktikan bahawa Islamisasi tidak sama dengan Arabisasi. Juga, tidak bermaksud indegenisasi sebagaimana yang difahami dalam sains politik, antropologi budaya dan sosiologi. Islamisasi Khusus bukanlah indegenisasi kerana Islam tidak disaring oleh sesebuah masyarakat mengikut pandangan alam mereka yang terdahulu.

Salah sebuah ciri utama Islamisasi ialah pembudayaan ilmu dalam sesebuah masyarakat. Dalam lain perkataan, sesebuah masyarakat yang melalui Islamisasi dengan berjaya akan mencintai dan mengembangkan ilmu selari dengan pandangan alam Islam.

Sebagaimana masyarakat yang lain, sikap mencintai dan mengembangkan ilmu ini juga kelihatan jelas dalam pengalaman Islamisasi di Andalusia. Ramai tokoh dan karya bermanfaat lahir dalam tempoh Islamisasi hampir 800 tahun di sana. Keadaan serupa turut dialami di Nusantara. Namun, Islamisasi di rantau ini sempat diperlahankan oleh peristiwa penjajahan. Dan ketika segala pencapaian di Andalusia itu kini hanya tinggal nostalgia, tidak ramai Muslim di Nusantara pula yang bersungguh-sungguh meneruskan Islamisasi dengan terus mencari dan mengembangkan ilmu.

Pembudayaan ilmu merupakan salah satu cara mentaati Allah selain memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah-Nya di dunia ini. Ibn Hazm, dalam karyanya berjudul Maratib al-Ulum dan al-Akhlaq wal Siyar, turut mengingatkan kaum Muslimin agar tidak mencari ilmu untuk tujuan keduniaan seperti mengumpul harta. Bahkan menurut beliau, ada banyak cara lain yang lebih mudah untuk mengumpul harta, seperti berniaga, mengurus hartanah atau menyertai pemerintahan. Tambah beliau lagi, tidak mustahil sekiranya seorang jahil kelihatan lebih berjaya dalam mengumpul harta berbanding seorang ilmuwan yang mendedikasikan hidupnya untuk mencari dan mengembangkan ilmu.

Menulis pula merupakan sebahagian daripada proses penting dalam mencari dan mengembangkan ilmu. Menurut Ibn Hazm, tujuh tujuan utama menulis adalah seperti berikut.

  1. Menyampaikan sesuatu yang asli (belum pernah ditulis).
  2. Menyelesaikan masalah terdahulu, atau melengkapkan persoalan terdahulu.
  3. Membetulkan kesilapan terdahulu.
  4. Menjelaskan atau menghuraikan kesukaran terdahulu.
  5. Meringkaskan karya-karya terdahulu.
  6. Menggabungkan pelbagai sumber maklumat.
  7. Menggabungkan pelbagai maklumat.

Semua tujuan utama menulis di atas ini juga sebenarnya merupakan tujuan utama pengembangan ilmu itu sendiri.

Berbicara lanjut mengenai ilmu, masyarakat umumnya cenderung membezakan di antara ilmu-ilmu akhirat dengan ilmu-ilmu dunia. Menjawab persoalan ini, penulis menegaskan bahawa tiada pemisahan mutlak di antara kedua-duanya. Pembezaan yang dilakukan oleh para ilmuwan terdahulu bertujuan mengelaskan atau mengkategorikan ilmu mengikut ruang perbahasannya masing-masing. Memang benar ilmu-ilmu agama lebih utama berbanding ilmu-ilmu akhirat. Tetapi, ini tidak bermaksud menghalang atau mengasingkan Muslim daripada menguasai ilmu-ilmu dunia. 

Ketiadaan pemisahan ilmu-ilmu akhirat dengan ilmu-ilmu dunia secara mutlak dihujahkan lanjut oleh penulis dengan menyenaraikan ramai tokoh yang menguasai banyak bidang. Sebagai contoh, penulis menyebut nama Abu Ubaydah al-Laythi, juga dikenali sebagai Sahib al-Qiblah, seorang ahli hadith dan ahli fikah yang juga menguasai bidang astronomi. Atau Yahya bin Yahya, seorang ahli hadith dan ahli kalam yang turut menguasai matematik, astronomi, perubatan dan cabang-cabang Bahasa Arab.

Penulis turut menegaskan bahawa penguasaan generasi ilmuwan terdahulu dalam banyak bidang bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicontohi pada zaman yang sarat maklumat seperti sekarang. Menurut penulis, kita masih berpeluang menguasai banyak bidang sekiranya kita mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Ini termasuklah mengutamakan bahan bacaan yang berkualiti, sebagai contoh, berbanding sekadar membaca sebanyak mungkin.

Selain mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, penulis juga menegaskan kepentingan autoriti atau kewibawaan ilmu, satu lagi ciri lain pembudayaan ilmu di Andalusia yang boleh kita manfaatkan hari ini. Sebagaimana para penuntut ilmu di Andalusia dahulu, kita juga perlu mengenal pasti dan mengakui kewibawaan atau autoriti ilmu seseorang ilmuwan sekali pun mereka bukan Muslim. Tambah penulis lagi, belajar dengan ilmuwan berwibawa bukan sahaja bantu menjimatkan waktu, tetapi juga menjimatkan sumber dan lebih memungkinkan seseorang untuk terus mengembangkan ilmu berkaitan.

Berbeza daripada amalan institusi semasa yang menganugerahkan ijazah kepada pelajar, ijazah ilmu di Andalusia diterima langsung daripada seseorang guru. Amalan sekarang mungkin lebih memudahkan pengurusan dan menjimatkan kertas. Namun, amalan terdahulu masih relevan untuk dibicarakan kerana lebih berupaya membezakan di antara ilmuwan yang benar-benar berwibawa dengan ilmuwan yang sekadar menumpang kewibawaan nama sesebuah institusi seperti sekarang. Bahkan turut memudahkan para penuntut ilmu mengenal pasti peluang berguru dengan seseorang ilmuwan yang terbukti berwibawa.

Walaupun pengakuan autoriti ilmu itu penting, ini tidak seharusnya menghalang seseorang penuntut ilmu untuk tetap bersikap ilmiah dan kritis. Penulis bahkan menggunakan perkataan ‘hormat-kritis’ untuk membezakan sikap ini dengan sekadar hormat sahaja. Ringkasnya, seseorang yang hormat-kritis mampu menghormati kewibawaan atau autoriti ilmu seseorang. Namun pada masa yang sama, dia juga berani menggunakan kaedah-kaedah ilmu yang sah untuk terus menilai secara objektif. Dia juga bahkan berani membuat pembetulan sekiranya perlu.

Sebagaimana aktiviti kehidupan yang lain, kegiatan-kegiatan mencari dan mengembangkan ilmu juga tidak bebas daripada cabaran, seperti kemiskinan atau kepayahan, dan bahkan kemewahan. Sebagai contoh, Abu Bakar Yahya bin Baqi, seorang penyair, diuji dengan kemiskinan. Abu Hassan Ali bin ibn Siddah, penyusun kamus al-Mukhassas yang dianggap terbaik oleh Ibn Khaldun, pula diuji dengan kepayahan hidup kerana matanya yang buta. Dan Ibn Hazm pula diuji dengan kemewahan.

Peranan kerajaan dalam menggalakkan perkembangan ilmu merupakan perkara lain yang turut disentuh oleh penulis. Ini boleh dilakukan dengan mencontohi, sebagai contoh, inisiatif al-Hakam II mengumpul dan membeli karya-karya terbaik. Selain itu, seseorang pemimpin juga perlulah terus mendampingi para ilmuwan. Sultan Abu Ya’qub Yusuf, seorang pemimpin Kerajaan Muwahhid, bahkan pernah, sebagai contoh, mencadangkan agar Ibnu Rushd menghuraikan karya-karya Aristotle.

Selain itu, penulis turut menyentuh kepentingan peranan wanita dalam pembudayaan ilmu, terutamanya dalam pendidikan awal di rumah. Juga, penulis mengingatkan agar tidak terjebak dengan ketaksuban mazhab dan politik yang boleh membantutkan perkembangan ilmu.