Pengenalan
Judul:
Makalah Penentu tentang Hubungan antara Syariah dengan Falsafah
Penulis:
Ibnu Rusyd
Penterjemah:
Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Penerbit:
Middle-Eastern Graduates Centre Sdn. Bhd. (MEGC), dengan kerjasama Konrad Adenauer Foundation
Tahun Terbit:
2006
Kandungan
Ini sebetulnya bukan sekadar ringkasan tetapi juga hasil renungan berinteraksi dengan Makalah Penentu tentang Hubungan antara Syariah dengan Falsafah terjemahan Al-Mustaqeem Mahmod Radhi. Buku terjemahan ini istimewa dibaca kerana beberapa alasan berikut. Pertama, penulis karya asal yang diterjemahkan ialah Ibnu Rusyd, seorang ahli fikah dan ahli falsafah. Nama yang biasa disebut dalam buku-buku teks sejarah dan tamadun Islam. Namun sebenarnya, tidak ramai tokoh ilmu dalam sejarah seperti beliau yang berjaya menguasai ilmu agama dan ilmu falsafah, dua ilmu yang cenderung dilihat saling bercanggah oleh golongan yang tidak menguasai kedua-duanya. Bayangkan, pada zaman maklumat di hujung jari seperti hari ini sekalipun, kewujudan tokoh yang berjaya menggabungkan kedua-duanya masih boleh dibilang dengan jari. Atau sekiranya kita mahu lebih optimis, boleh kita katakan kewujudan mereka, sekiranya ada, belum dihargai sepenuhnya oleh masyarakat Muslim. Tetapi umumnya, memang sukar kita temukan ibu bapa yang berharap agar anak-anak mereka menjadi seorang ahli fikah yang mahir falsafah pada masa yang sama. Ramai yang hanya menghantar anak-anak mereka ke madrasah tertentu untuk hafalan al-Quran semata-mata.
Kedua, ketokohan Ibnu Rusyd mengingatkan kita kepada sekurang-kurangnya dua orang tokoh lain iaitu al-Ghazali dan Ibnu Taymiyyah. Pemikiran al-Ghazali memang sering menjadi sasaran kritikan Ibnu Rusyd secara terus terang. Dan walaupun Ibnu Rusyd tidak banyak menyebut nama Ibnu Taymiyyah seperti al-Ghazali dalam kritikan-kritikan beliau, kita masih boleh mengaitkan kritikan tertentu dengan pemikiran Ibnu Taymiyyah. Dalam lain perkataan, kedua-dua tokoh ini mempunyai profil keilmuan yang berbeza daripada Ibnu Rusyd. Saya fikir, pemilihan dua nama ini oleh Luthfi Assyaukanie untuk bahagian Kata Pengantar sangat relevan dengan situasi Islamisasi semasa di Nusantara. Di Nusantara, terutamanya Indonesia dan Malaysia, al-Ghazali bukanlah nama yang asing. Rantaian Islamisasi ratusan tahun di rantau ini jelas mempunyai hubungan dengan keilmuan beliau yang dilihat sebagai bersepadu, sekurang-kurangnya menurut pengikut beliau. Dikatakan bersepadu kerana beliau memadukan ilmu-ilmu Islam yang utama iaitu akidah, fikah dan tasawwuf. Ibnu Taymiyyah pula seorang tokoh yang tidak kalah menarik. Sungguhpun sering dijadikan salah seorang panutan untuk agenda sekadar “kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah”, kita perlu ingat beliau sendiri menggunakan mantiq atau logik untuk menolak logik. Ringkasnya, ada ramai pengikut al-Ghazali dan Ibnu Taymiyyah di Nusantara sekarang. Namun, bersediakah mereka untuk mengambil manfaat daripada ketokohan Ibnu Rusyd pada masa yang sama?
Ketiga, masih menyentuh Kata Pengantar, Luthfi Assyaukanie turut menawarkan hasil pemerhatian lain yang menarik. Bijak, menurut beliau, apabila Ibnu Rusyd menggunakan kata hikmah untuk merujuk kepada falsafah. Berbanding kata falsafah, pemilihan kata hikmah lebih strategik kerana disebutkan dalam al-Quran dan umumnya diterima oleh para ulama. Lebih menarik apabila kata hikmah dalam al-Quran juga disebut bersama dengan kitab-kitab suci seperti Taurat dan Injil (Quran, 3:48, 5:110). Bukan itu sahaja, al-Quran bahkan menyifatkan mereka yang dianugerahkan hikmah sebagai penerima banyak kebaikan (Quran, 2:269). Mungkin ada kecenderungan untuk menyamakan hikmah dengan al-Quran, tetapi pendekatan ini tertolak sekiranya diterapkan untuk pemahaman hikmah yang komprehensif kerana ramai tokoh dalam al-Quran dikurniakan hikmah sebelum al-Quran diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan, al-Quran sendiri membezakan hikmah daripada wahyu-wahyu Ilahi seperti Taurat dan Injil. Dalam lain perkataan, hikmah berbeza dengan wahyu. Dan ini, menurut Ibnu Rusyd, menunjukkan keabsahan hikmah, falsafah atau akal sebagai “saudara sesusuan” wahyu. Pendekatan ini menarik dan mungkin boleh diterokai lanjut dalam epistemologi. Mereka yang tidak bersetuju bolehlah menawarkan perspektif epistemologi yang berbeza dengan terlebih dahulu menyanggah identifikasi falsafah dengan hikmah menurut Ibnu Rusyd, dan menjelaskan hakikat hikmah yang sebenar secara komprehensif. Sungguhpun Ibnu Rusyd menyamakan falsafah dengan hikmah, ini tidaklah bermaksud beliau menerima semua produk falsafah sebagai hikmah secara pukal. Kita wajar berhati-hati daripada menuduh beliau sebaliknya.
Rumusan
Keempat, Ibnu Rusyd memulakan makalah ini dengan menjelaskan hukum falsafah menurut pertimbangan fikah. Pendekatan ini sangat menarik terutamanya kerana beliau merupakan seorang ahli fikah pada masa yang sama. Ringkasnya, hukum mempelajari dan menguasai falsafah menurut beliau ialah dianjurkan atau bahkan wajib bagi sebilangan orang. Menurut Ibnu Rusyd, berfalsafah lazimnya merujuk kepada kegiatan-kegiatan seperti memerhati dan berfikir. Al-Quran sememangnya menggalakkan kaum Muslimin untuk memerhati segala mawjudat atau semua makhluk ciptaan Tuhan, di langit dan di bumi, dan berfikir. Bagi beliau, mengetahui ciptaan Tuhan bermanfaat membantu kita mengetahui Tuhan. Beliau bahkan mengatakan seseorang itu lebih mengetahui Tuhan apabila dia lebih mengetahui ciptaan-ciptaan-Nya. Saya umumnya sangat bersetuju dengan pendekatan beliau mengaitkan berfalsafah dengan anjuran memerhati dan berfikir dalam al-Quran. Namun, pemahaman beliau mengenai kesempurnaan pengetahuan mengenai Tuhan hasil kesempurnaan pengetahuan mengenai ciptaan-ciptaan-Nya wajar dipersoal atau sekurang-kurangnya diperhalusi. Kita tentunya tidak mahu ada yang menyimpulkan, sebagai contoh, generasi sekarang lebih mengetahui Tuhan kerana lebih mengetahui makhluk-makhluk-Nya. Pada pandangan saya, pemikiran tokoh lain seperti Ibnu Arabi yang hidup sezaman dengan Ibnu Rusyd bahkan mungkin lebih komprehensif dan jelas dalam hal ini. Ini boleh dikongsikan dalam tulisan-tulisan yang lain. Insya-Allah.
[bersambung, insya-Allah]