Judul:
Makalah Penentu tentang Hubungan antara Syariah dengan Falsafah
Penulis:
Ibnu Rusyd
Penterjemah:
Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Penerbit:
Middle-Eastern Graduates Centre Sdn. Bhd. (MEGC), dengan kerjasama Konrad Adenauer Foundation
Tahun Terbit:
2006
[Catatan dan refleksi ini masih perlu diperhalusi]
Ada nas untuk pemerhatian. Dan juga ada nas untuk berfikir. Cara berfikir terbaik diteliti dalam bidang qiyas. Sehubungan itu, Ibnu Rusyd menjelaskan kepentingan mempelajari kepustakaan ilmu sekalipun daripada non-Muslim. Beliau bahkan menolak dakwaan bidaah terhadap ilmu qiyas dengan alasan ketiadaannya pada zaman awal Islam. Penjelasan beliau sebetulnya sangat masuk akal. Sesebuah bidang ilmu sememangnya memerlukan masa untuk matang. Dalam lain perkataan, tidak wajar kita menolak manfaat sesebuah bidang ilmu semata-mata kerana dikembangkan oleh non-Muslim. Hal ini umumnya berlaku untuk semua bidang. Namun, ini tidaklah bermaksud kaum Muslimin hanya perlu menerima ilmu-ilmu non-Muslim tanpa sebarang tapisan. Tentu sahaja ilmu-ilmu non-Muslim tetap perlu dinilai dan ditapis mengikut pandangan alam Islam untuk mendapatkan manfaat sebenar.
Menurut Ibnu Rusyd, orang yang layak melakukan penelitian falsafah perlulah mempunyai dua ciri penting berikut iaitu cerdas dan saleh. Tambah beliau lagi, menghalang seseorang individu yang layak daripada melakukan penelitian falsafah merupakan sebuah tindakan yang bodoh kerana menghalang manusia daripada memenuhi tuntutan syarak untuk memerhati dan berfikir, dan menjauhkan manusia daripada Tuhan. Ibnu Rusyd juga mengingatkan agar tidak menolak falsafah semata-mata kerana kelemahan rumusan falsafi seseorang individu. Kita perlu sedar, bukan semua individu sama cerdas. Oleh itu, risiko salah faham dan salah rumusan memang tidak dinafikan boleh berlaku. Tetapi ini semuanya bukan hujah untuk menolak falsafah itu sendiri. Tambah Ibnu Rusyd, hal seumpama ini juga boleh ditemukan dalam kalangan ahli fekah yang tidak warak. Sudah tentu, kelemahan ahli fekah berkenaan tidak wajar digunakan untuk menolak ilmu fekah itu sendiri.
Ibnu Rusyd turut mengingatkan kita untuk meraikan pelbagai potensi manusia. Anjuran al-Quran untuk menyeru dengan hikmah dan pelajaran yang baik, serta membantah dengan cara yang baik itu beliau fahami sebagai anjuran menyesuaikan cara penyampaian mengikut potensi dan keupayaan individu. Ada manusia, sebagai contoh, yang hanya memerlukan hujah retorik (qiyas khatabi). Namun, ada juga manusia yang perlukan hujah dialektik (qiyas jadali). Dan ada yang perlukan hujah demonstratif (qiyas burhani). Yang penting bukannya qiyas mughaliti iaitu lawan kepada qiyas sebenar. Pada pandangan saya, identifikasi potensi individu dengan jenis-jenis qiyas ini menarik kerana mencerminkan realiti pemikiran masyarakat dan juga aplikasi di dunia sebenar, bukan sekadar kategori-kategori untuk dipelajari dalam ilmu qiyas.
Berkenaan takwil, Ibnu Rusyd memahami ayat al-Quran (3:7) sebagai sandaran legitimasi takwil. Pertama, Tuhan maklumkan kewujudan takwil. Bagi beliau, mereka yang mendalam ilmunya turut berupaya memahami ayat-ayat mutasyabihat dengan menakwil mengikut kebiasaan Bahasa Arab. Bahkan merekalah yang benar-benar beriman dengan ayat-ayat mutasyabihat. Pemahaman ini hasil daripada pembacaan al-Quran beliau yang berhenti (waqaf) di tempat berbeza berbanding mereka yang memahami hanya Tuhan sahaja yang mengetahui takwil ayat-ayat mutasyabihat sebenar. Sebelumnya, beliau turut menyebut mengenai keutamaan qiyas dalam ilmu ketuhanan berbanding ilmu fekah, kerana qiyas yaqini lebih utama berbanding qiyas zanni. Ini satu kenyataan yang sangat menarik terutamanya kerana beliau sendiri seorang ahli fekah yang berwibawa. Selain itu, beliau turut mengaitkan kewujudan makna-makna zahir daan makna-makna batin dalam agama dengan sifat agama ini yang meraikan pelbagai potensi manusia. Ini juga perspektif yang menarik.
Walaupun beliau menerima keabsahan takwil, beliau bertegas bahawa hanya individu-individu yang layak sahaja boleh melakukannya. Selain itu, beliau turut menyatakan kemustahilan berlakunya ijmak dalam persoalan teori seperti ini. Seandainya mereka tersilap, kesilapan mereka dimaafkan dan mereka masih berkemungkinan menerima ganjaran 1 pahala. Dan 2 pahala sekiranya takwil mereka benar. Namun, ini tidak bermakna semua perkara dalam agama boleh ditakwil. Tiga perkara utama berikut, sebagai contoh, tidak sewajarnya ditakwil iaitu kewujudan Tuhan, kenabian, dan pembalasan di akhirat.
Saya dapati sikap Ibnu Rusyd terhadap Imam al-Ghazali juga menarik untuk diperhatikan. Saya pasti ini merupakan cotoh sikap hormat-kritis yang baik. Beliau tidak menolak Imam al-Ghazali sepenuhnya dan juga tidak mengikut Imam al-Ghazali sepenuhnya. Kadang-kadang, beliau mengkritik Imam al-Ghazali, dan kadang-kadang beliau bahkan bantu menjelaskan pemikiran Imam al-Ghazali. Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa pengkafiran sebahagian ahli falsafah oleh Imam al-Ghazali bukanlah secara pasti, tetapi lebih kepada kemungkinan kafir.
Berkenaan kritikan pula, beliau mengkritik Imam al-Ghazali yang cuba mengharmonikan pelbagai cabang ilmu dalam sebuah karya seperti Ihya’ Ulumiddin (terutamanya kerana ada ilmu takwil). Bagi beliau, ilmu takwil bukanlah untuk dikongsikan kepada semua orang. Ini sebetulnya selari dengan pandangan beliau yang membataskan ilmu seperti ini kepada mereka yang layak sahaja, sama ada kerana berpotensi ataupun kerana telah melalui latihan berkaitan. Beliau turut menggunakan ibarat kepakaran seorang doktor untuk menyokong pandangan ini. Walaupun bidang kedoktoran itu baik, tetapi bukan semua orang boleh jadi doktor. Tidak semua orang berkongsi kemampuan yang sama untuk jadi seorang doktor. Selain Imam al-Ghazali, beliau turut mengkritik Asyairah kerana dua alasan berikut. Pertama, menggunakan pendekatan yang lebih mencabar untuk memenuhi keperluan orang awam. Dan kedua, tidak memenuhi syarat demonstratif menurut para elit.
Berkenaan beberapa kritikan beliau terhadap kitab Tahafut al-Falasifah Imam al-Ghazali, beliau melihat persoalan keqadiman alam dan juga ilmu Tuhan lebih kepada isu linguistik atau istilah. Dalam lain perkataan, beliau ingin mengatakan bahawa kritikan Imam al-Ghazali seolah-olah tidak menepati sasaran kerana pemahaman dan penggunaan istilah tertentu beliau berbeza daripada ahli falsafah. Rasanya, persoalan ini belum mahu saya catatkan di sini. Bagi yang berminat, boleh saya kongsikan secara lisan dalam beberapa minit.
Insya-Allah.